Minggu, 14 Desember 2008

Tentang Abu as-Syuhada.. Imam Husayn AS





Selawat keatas habibana wa nabiana al-Musthafa wa alihi at_thahirin

Dibawah ini artikel tentang Abu as-
Syuhada AS. semoga bisa menjadikan
jawaban bagi keheiranan akhina Nabil.


1. Wasiat Imam Husain AS

2. Khabar Tentang Kesyahidan

3. Adakah Imam Husain AS Terpaksa?

4. Dua Keistimewaan

5. Imam Mematikan Hujah


Ini wasiat Husain bin Ali a.s kepada saudaranya Muhammad Hanafiah.
Husain berikrar kepada keesaan Allah s.w.t tiada tuhan yang disembah
melainkan Allah. Dan Muhammad itu hamba dan pesuruh Allah s.w.t.
Agama yang hak adalah agama yang datangnya dari Allah s.w.t untuk
sekalian makhluk . Dia berikrar lagi bahawa syurga dan neraka adalah
benar dan hari perhitungan pasti akan tiba di mana semua makhluk akan
di hidupkan kembali.

Aku keluar dari Madinah bukannya atas dasar pentingkan diri sendiri
atau hanya ingin bersuka-suka dan bukan juga untuk mencetuskan
kekecohan dan huru- hara tetapi tujuanku adalah semata-mata untuk
menjalankan kewajipanku iaitu amar makruf nahi mungkar. Apa yang aku
mahu dari langkahku ini hanyalah untuk menghapuskan kemungkaran dan
menegakkan hukum juga sunnah-sunnah datukku Rasulullah s.a.w dan
perjalanan ayahku Ali bin Abi Talib a.s. Justeru itu barangsiapa
dapat menerima hakikat ini dan mengikutiku maka dia telah memilih
jalan Allah s.w.t.

Jika sesiapa menolaknya aku akan tetap berdiri, bersabar dan
menegakkanya sehingga kami akan dihukum olehNya yang bijaksana. Wahai
abang, aku mewasiatkan pesanan ini dengan taufik dari Allah s.w.t.
Aku bertawakal kepadaNya dan kepadaNya aku kembali.



KHABAR TENTANG KESYAHIDAN


Timbul satu persoalan mengapakah Imam Husain a.s sanggup menggadaikan
nyawanya sedangkan memelihara nyawa adalah satu kewajipan, tambahan
pula dia telah dikhabarkan akan kesyahidannya.

Jihad adalah salah satu daripada tuntutan Islam dan kesyahidan itu
juga menjadi satu kebanggaan setiap muslim. Telah termaktub di dalam
Al-Quran ayat-ayat mengenai jihad dan kesyahidan. Berjuang menentang
musuh Islam atau syahid di dalam menyampaikan kebenaran merupakan
tanda-tanda orang mukmin. Lantaran itu kemenangan sesebuah perjuangan
bukanlah syarat utama kandungan ayat tersebut. Allah s.w.t telah
berfirman "sesungguhnya Allah membeli diri dan harta orang-orang yang
beriman, bahawa untuk mereka itu syurga. Mereka berperang di jalan
Allah, lalu mereka membunuh atau terbunuh sebagai janji yang benar
bagi Allah (yang termaktub) dalam Taurat, Injil dan Al- Quran.
Siapakah yang lebih menepati janjinya daripada Allah s.w.t? Sebab itu
bergembiralah kamu dengan penjualan yang kamu jual itu. Demikian
itulah kemenangan yang besar" Terdapat 9 lagi sifat orang mukmin di
dalam ayat yang seterusnya dan oleh kerana dengan memiliki sifat-
sifat mulia inilah mereka sampai ke tahap jihad.
Secara keseluruhan kita telah mengetahui betapa besarnya erti sebuah
perjuangan dan kesyahidan. Apakah ia wajar apabila jihad menjadi satu
kewajipan kepada setiap muslim, tetapi ia terkecuali untuk Imam
Husain sedangkan Imam sebagai penjaga Al-Quran dan Islam. Jika Imam
Husain a.s tidak menyempurnakan kewajipan ini, siapakah lagi yang
harus menunaikannya. Dan jika Imam dan ahli keluarganya mengorbankan
nyawa mereka bukan kerana menjaga maruah Al-Quran dan Islam, apakah
tujuan sebenar mereka? Siapakah lagi yang layak untuk menyempurnakan
amanat penting ini?

Sudah pasti jawapannya tidak lain dan tidak bukan hanyalah Imam
Husain a.s. Tujuan utama perginya Imam Husain a.s ke
Karbala untuk
menegak yang makruf dan mencegah kemunkaran demi menjaga kesucian Al-
Quran juga kesyumulan Islam yang telah dibawa oleh datuknya supaya
tidak tercemar oleh kebatilan. Tugas ini lebih besar daripada
memelihara nyawanya sendiri kerana melibatkan semua dunia Islam. Ya,
untuk melakukan pertukaran yang bermakna itu Husain bin Ali a.s
mempunyai syarat-syarat yang membolehkan dia bertindak sedemikian.
Disamping itu, tanggungjawabnya sebagai seorang Imam melayakannya
untuk memilih jalan terbaik supaya Al-Quran dan Islam tetap unggul.
Oleh kerana itu, Imam Husain bin Ali a.s mengambil keputusan untuk
syahid.


ADAKAH IMAM HUSAIN A.S TERPAKSA?


Apabila kita melihat jawapan Imam Husain a.s kepada saudaranya
Muhammad Hanafiah, Ummu Salamah dan adiknya Hazrat Zainab a.s
mengenai pemergian ke Karbala, kesemuanya menunjukkan peristiwa
asyura adalah kehendak Allah s.w.t. Dalam erti kata lain segala
pengorbanan mereka, titik darah para syuhada Karbala dan keperitan
yang ditanggung oleh tawanan Karbala berlaku di atas kemahuan
Penciptanya, Allah s.w.t. Jika ini kehendak dan takdir Ilahi, maka
wujudlah kekeliruan juga kesangsian tentang pengorbanan yang tidak
ternilai oleh Imam Husain dan ahli keluarganya serta sahabat-sahabat
yang lain.

Pertamanya nilai kesabaran, kecekalan dan pengorbanan Imam Husain a.s
beserta ahli keluarganya juga para sahabatnya tidaklah sebesar
sepertimana yang dilaung-laungkan oleh kita semua. Ini kerana jalan
mereka telah ditentukan oleh Allah s.w.t dan mereka terpaksa dan
tidak mampu melawan takdir yang telah ditentukan Allah s.w.t. Kedua,
kita semua tidak sepatutnya melaknat dan mengeji tentera Kufah juga
pembunuh-pembunuh di perang
Karbala. Hal ini disebabkan oleh takdir
Ilahi dan kemahuan yang maha Esa. Imam Husain telah ditulis matinya
terbunuh. Setiap yang terbunuh (mangsa) itu pasti ada pembunuhnya.
Justeru itu sebagaimana yang terbunuh (mangsa) melakukan pengorbanan
tersebut dengan terpaksa, demikianlah dengan pembunuhnya yang juga
terpaksa dan akur pada takdir yang telah ditentukan.


Akan tetapi timbulnya persoalan yang sedemikian dengan kurangnya
pemahaman mengenai masalah kehendak dan takdir. Kehendak dan takdir
Illahi mempunyai 2 cabang iaitu taklifi dan takwini. Takdir Illahi
takwinilah yang kita semua akur dengan keputusan yang telah
ditetapkan dimana sekalian hamba terpaksa menurut apa saja, seperti
kelahiran dan kematian, penciptaan langit dan bumi, kejadian kiamat
dan lain-lain.

Sehubungan itu, kita semua adalah hamba yang bebas memilih jalan kita
sendiri dengan adanya takdir Illahi taklifi atau tasyrie. Allah lebih
mengetahui apa yang akan berlaku dan mengetahui akan yang baik atau
yang buruk. Allah s.w.t akan memerintahkan kita melakukannya jika ia
yang terbaik dan akan melarang jika ia yang mungkar. Dengan adanya
larangan dan suruhan inilah membuktikan keputusan di tangan kita
sendiri dan kita mempunyai hak untuk memilih jalan masing-masing.
Contohnya Allah s.w.t memerintahkan kita semua berpuasa, sembahyang,
mengerjakan haji dan berjihad. Kita dapati kesemua ini adalah
kehendak Allah s.w.t. Jika kesemua suruhan ini adalah takdir Ilahi
takwini maka tidak ada makna suruhan yang diperintahkanNya. Lantaran
itu, tidak dinafikan kesemua ini adalah kehendak Allah s.w.t, tetapi
hamba-hambanya telah diberi kebebasan memilih dan membuat keputusan
sendiri. Kejadian syurga dan neraka juga akan menjadi sia-sia jika
persoalan ini tidak benar.



DUA KEISTIMEWAAN


Setiap peristiwa yang berlaku semestinya meninggalkan kesan yang
dinamakan sejarah. Sejarah inilah yang telah dan akan mengajar kita
supaya lebih matang untuk menghadapi apa yang bakal berlaku. Dalam
peristiwa
karbala terdapat 2 keistimewaan Imam Husain a.s.

1. Sepertimana yang telah kita semua ketahui, setiap Imam mempunyai
ilmu keimamahannya. Iaitu ia dapat mengetahui apa yang akan berlaku.
Ini adalah salah satu keistimewaan para aimmah yang dianugerah oleh
Allah s.w.t. Sebelum tiba di tanah Karbala, Imam telah mengetahui
tentera Kufah akan menentangnya tambahan pula Farazdaq telah berkata
kepada Imam Husain a.s "Hati-hati mereka bersamamu akan tetapi pedang-
pedang mereka bersama Yazid". Tidak perlu dipertikaikan lagi tentang
pangkat dan makam Husain bin Ali yang dia sememangnya seorang Imam.
Adanya bukti seperti ini sudah pasti Imam Husain bin Ali a.s memiliki
ilmu keimamahannya dan ini hanya wujud dalam kewujudan seseorang
Imam.

2. Sifat-sifat terpuji dan mulia juga telah ditonjolkan oleh Imam
Husain a.s sebagai petunjuk kepada kita semua. Imam Husain a.s dan
para sahabat telah mengajar kita tentang keikhlasan, kesetiaan dan
kehambaannya kepada Allah s.w.t.
Para pengikut Imam Husain a.s tidak
pernah menanyakan apakah upah mereka atau ganjaran yang bakal mereka
terima hasil daripada peperangan
Karbala. Malah Imam dan para
pengikut benar-benar ikhlas dan telah sampai ketahap kezuhudan masing-
masing. Tetapi lain pula ceritanya apabila kita melihat karenah para
askar-askar Yazid. Dari setiap mulut tentera Yazid pasti terpacul
soalan apakah bahagian kami?

Ternyata Imam Husain a.s dan para pengikutnya ikhlas dan redha atas
keputusan mereka. Demi agama yang telah diamanahkan oleh Allah,
mereka sanggup mengorbankan nyawa sendiri. Rentetan dari itu nilai-
nilai kehambaan juga telah wujud dalam diri mereka. Mereka rela
menghambakan diri yang tidak akan wujud tanpa pencipta. Walaupun di
dalam keadaan darurat tanpa diberikan setitik air untuk diminum
ataupun untuk berwudhuk, mereka tetap mengerjakan apa yang
diperintahkan iaitu mengerjakan solat. Sewaktu menunaikan solat
timbul pula sifat-sifat setia kawan. Mereka sanggup mati menahan dan
menghalang panah-panah mengenai sahabatnya yang sedang menunaikan
solat timbul pula sifat-sifat setia kawan. Mereka sanggup mati
menahan dan menghalang panah-panah mengenai sahabatnya yang sedang
menunaikan kewajipan solat zohor dengan menjadikan tubuh mereka
dinding tempat sahabatnya mengerjakan solat.

Kemenangan Imam Husain bin Ali a.s di dalam perang Karbala ialah
dengan tidak tunduknya mereka kepada kuasa kebatilan Yazid dan
patuhnya mereka akan kehendak Islam agar tetap unggul. Akan tetapi
kemenangan zahiriah itu tidak akan tercapai tanpa sifat-sifat
maknawiah yang dimiliki oleh mereka. Oleh kerana tempat tujunya Allah
s.w.t maka kemenangan hakiki menjadi milik mereka.



IMAM MEMATIKAN HUJAH


Di dalam mana-mana peperangan, Islam tidak menggalakkan kita
memulakannya. Biarlah pertempuran itu tercetus dari pihak lawan. Imam
Husain a.s sememangnya tidak mahu mencetuskan peperangan walaupun
kesemua askar Yazid telah bersedia untuk mengangkat pedang-pedang
mereka. Askar Yazid telah menyekat air untuk sampai kepada tentera
Imam Husain a.s namun begitu Imam Husain a.s tetap berkhutbah tentang
pesanan ayahnya iaitu "Jangan sekali-kali bermusuhan dengan ahlul-
bait".
Manusia selalu alpa dan mungkin dengan kata-kata Imam Husain a.s pada
saat akhir itu dapat menyedarkan mereka semua. Imam Husain a.s
mengharapkan ada orang yang akan memahami peringatan terakhirnya.
Apabila keadaan menjadi lebih tegang Imam Husain a.s mengambil sebuah
al-Quran lalu menjunjungnya seraya berkata di hadapan barisan tentera
Yazid " Aku adalah Imam dan ketua kamu semua. Al-Quran ini adalah
kitab dan kalam Allah s.w.t. Apa yang telah aku lakukan sehingga
darahku telah halal untukmu? Adakah aku bukannya anaknya puterinya
Rasulullah s.a.w yang kami sanjungi dan hormati pada ketika dahulu?
Apakah kamu semua tidak mendengar kata-kata dari Rasulullah s.a.w
bahawa aku dan saudaraku Hassan a.s adalah pemuda syurga. Jika apa
yang aku katakan ini tiada kebenarannya, tanyalah Jabir, Zaid bin
Arqam dan Abu Said Khidri. Bukankah Jaafar Tayyar itu pakcikku".
Tidak seorang pun yang menjawab pertanyaan Imam Husain a.s kecuali
Syimr. Dia menjawab "Sekarang engkau akan masuk neraka". Imam Husain
a.s dengan terkejut menjawab kata-kata Syimr "Allahu akbar, datukku
telah menceritakan bahawa baginda telah bermimpi dan di dalam mimpi
itu baginda menyaksikan kejadian yang menjijikan yang mana seekor
anjing sedang menjilat darah ahlul-baitku". Imam Husain a.s
menyambung kata-katanya lagi " Aku merasakan anjing itu adalah kau
wahai Syimr".

Namun begitu Imam Husain telah mematikan hujahnya dengan memberi
khutbah terakhir kepada pengikut-pengikut Yazid, walaupun di dalam
keadaan yang sangat genting dan tidak mempunyai sedikit masa pun
untuk berkhutbah. Imam Husain a.s tidak mahu ada yang menyalahkan
dirinya kerana tidak menyampaikan amanah Allah s.w.t. Dalam apa jua
keadaan sekalipun Imam Husain a.s tetap patuh pada perintah Rabbul
Jalil.

FROM :

AHLUL-BAIT RESEARCH CENTRE

6 Muharram 1421H

Tidak ada komentar:

Posting Komentar