Ini wasiat Husain bin Ali a.s kepada adiknya (saudaranya) Muhammad Hanafiah. Husain berikrar kepada keesaan Allah s.w.t tiada tuhan yang disembah melainkan Allah. Dan Muhammad itu hamba dan pesuruh Allah s.w.t. Agama yang hak adalah agama yang datangnya dari Allah s.w.t untuk sekalian makhluk . Dia berikrar lagi bahawa syurga dan neraka adalah benar dan hari perhitungan pasti akan tiba di mana semua makhluk akan di hidupkan kembali.
Aku keluar dari Madinah bukannya atas dasar pentingkan diri sendiri atau hanya ingin bersuka-suka dan bukan juga untuk mencetuskan kekecohan dan huru-hara tetapi tujuanku adalah semata-mata untuk menjalankan kewajibanku yaitu amar makruf nahi mungkar. Apa yang aku mau dari langkahku ini hanyalah untuk menghapuskan kemungkaran dan menegakkan hukum juga sunnah-sunnah datukku Rasulullah s.a.w dan perjalanan ayahku Ali bin Abi Talib a.s. Justeru itu barangsiapa dapat menerima hakikat ini dan mengikutiku maka dia telah memilih jalan Allah s.w.t.
Jika siapa menolaknya aku akan tetap berdiri, bersabar dan menegakkanya sehingga kami akan dihukum olehNya yang bijaksana. Wahai abang, aku mewasiatkan pesanan ini dengan taufik dari Allah s.w.t. Aku bertawakal kepadaNya dan kepadaNya aku kembali.
Timbul satu persoalan mengapakah Imam Husain a.s sanggup menggadaikan nyawanya sedangkan memelihara nyawa adalah satu kewajiban, tambahan pula dia telah dikabarkan akan kesyahidannya.
Jihad adalah salah satu daripada tuntutan Islam dan kesyahidan itu juga menjadi satu kebanggaan setiap muslim. Telah termaktub di dalam Al-Quran ayat-ayat mengenai jihad dan kesyahidan. Berjuang menentang musuh Islam atau syahid di dalam menyampaikan kebenaran merupakan tanda-tanda orang mukmin. Lantaran itu kemenangan sebuah perjuangan bukanlah syarat utama kandungan ayat tersebut. Allah s.w.t telah berfirman "sesungguhnya Allah membeli diri dan harta orang-orang yang beriman, bahwa untuk mereka itu syurga. Mereka berperang di jalan Allah, lalu mereka membunuh atau terbunuh sebagai janji yang benar bagi Allah (yang termaktub) dalam Taurat, Injil dan Al- Quran. Siapakah yang lebih menepati janjinya daripada Allah s.w.t? Sebab itu bergembiralah kamu dengan penjualan yang kamu jual itu. Demikian itulah kemenangan yang besar" Terdapat 9 lagi sifat orang mukmin di dalam ayat yang seterusnya dan oleh kerana dengan memiliki sifat-sifat mulia inilah mereka sampai ke tahap jihad.
Secara keseluruhan kita telah mengetahui betapa besarnya arti sebuah perjuangan dan kesyahidan. Apakah ia wajar apabila jihad menjadi satu kewajiban kepada setiap muslim, tetapi ia terkecuali untuk Imam Husain sedangkan Imam sebagai penjaga Al-Quran dan Islam. Jika Imam Husain a.s tidak menyempurnakan kewajiban ini, siapakah lagi yang harus menunaikannya. Dan jika Imam dan ahli keluarganya mengorbankan nyawa mereka bukan kerana menjaga marwah Al-Quran dan Islam, apakah tujuan sebenar mereka? Siapakah lagi yang layak untuk menyempurnakan amanat penting ini?
Sudah pasti jawabannya tidak lain dan tidak bukan hanyalah Imam Husain a.s. Tujuan utama perginya Imam Husain a.s ke Karbala untuk menegak yang makruf dan mencegah kemunkaran demi menjaga kesucian Al-Quran juga kesyumulan Islam yang telah dibawa oleh datuknya supaya tidak tercemar oleh kebatilan. Tugas ini lebih besar daripada memelihara nyawanya sendiri kerana melibatkan semua dunia Islam. Ya, untuk melakukan pertukaran yang bermakna itu Husain bin Ali a.s mempunyai syarat-syarat yang membolehkan dia bertindak sedemikian. Disamping itu, tanggungjawabnya sebagai seorang Imam melayakannya untuk memilih jalan terbaik supaya Al-Quran dan Islam tetap unggul. Oleh kerana itu, Imam Husain bin Ali a.s mengambil keputusan untuk syahid.
ADAKAH IMAM HUSAIN AS TERPAKSA?
Apabila kita melihat jawaban Imam Husain a.s kepada saudaranya Muhammad Hanafiah, Ummu Salamah dan adiknya Hazrat Zainab a.s mengenai pemergian ke Karbala, kesemuanya menunjukkan peristiwa asyura adalah kehendak Allah s.w.t. Dalam arti kata lain segala pengorbanan mereka, titik darah para syuhada Karbala dan keperitan yang ditanggung oleh tawanan Karbala berlaku di atas kemahuan Penciptanya, Allah s.w.t. Jika ini kehendak dan takdir Ilahi, maka wujudlah kekeliruan juga kesangsian tentang pengorbanan yang tidak ternilai oleh Imam Husain dan ahli keluarganya serta sahabat-sahabat yang lain.
Pertamanya nilai kesabaran, kecekalan dan pengorbanan Imam Husain a.s beserta ahli keluarganya juga para sahabatnya tidaklah sebesar sepertimana yang dilaung-laungkan oleh kita semua. Ini kerana jalan mereka telah ditentukan oleh Allah s.w.t dan mereka terpaksa dan tidak mampu melawan takdir yang telah ditentukan Allah s.w.t. Kedua, kita semua tidak sepatutnya melaknat dan mengeji tentera Kufah juga pembunuh-pembunuh di perang Karbala. Hal ini disebabkan oleh takdir Ilahi dan kemahuan yang maha Esa. Imam Husain telah ditulis matinya terbunuh. Setiap yang terbunuh (mangsa) itu pasti ada pembunuhnya. Justeru itu sebagaimana yang terbunuh (mangsa) melakukan pengorbanan tersebut dengan terpaksa, demikianlah dengan pembunuhnya yang juga terpaksa dan akur pada takdir yang telah ditentukan.
Akan tetapi timbulnya persoalan yang sedemikian dengan kurangnya pemahaman mengenai masalah kehendak dan takdir. Kehendak dan takdir Illahi mempunyai 2 cabang iaitu taklifi dan takwini. Takdir Illahi takwinilah yang kita semua akur dengan keputusan yang telah ditetapkan dimana sekalian hamba terpaksa menurut apa saja, seperti kelahiran dan kematian, penciptaan langit dan bumi, kejadian kiamat dan lain-lain.
Sehubungan itu, kita semua adalah hamba yang bebas memilih jalan kita sendiri dengan adanya takdir Illahi taklifi atau tasyrie. Allah lebih mengetahui apa yang akan berlaku dan mengetahui akan yang baik atau yang buruk. Allah s.w.t akan memerintahkan kita melakukannya jika ia yang terbaik dan akan melarang jika ia yang mungkar. Dengan adanya larangan dan suruhan inilah membuktikan keputusan di tangan kita sendiri dan kita mempunyai hak untuk memilih jalan masing-masing. Contohnya Allah s.w.t memerintahkan kita semua berpuasa, sembahyang, mengerjakan haji dan berjihad. Kita dapati kesemua ini adalah kehendak Allah s.w.t. Jika kesemua suruhan ini adalalah takdir Ilahi takwini maka tidak ada makna suruhan yang diperintahkanNya. Lantaran itu, tidak dinafikan kesemua ini adalah kehendak Allah s.w.t, tetapi hamba-hambanya telah diberi kebebasan memilih dan membuat keputusan sendiri. Kejadian syurga dan neraka juga akan menjadi sia-sia jika persoalan ini tidak benar.
DUA KEISTIMEWAAN
Setiap peristiwa yang berlaku semestinya meninggalkan kesan yang dinamakan sejarah. Sejarah inilah yang telah dan akan mengajar kita supaya lebih matang untuk menghadapi apa yang bakal berlaku. Dalam peristiwa karbala terdapat 2 keistimewaan Imam Husain a.s.
1. Sepertimana yang telah kita semua ketahui, setiap Imam mempunyai ilmu keimamahannya. Yaitu ia dapat mengetahui apa yang akan berlaku. Ini adalah salah satu keistimewaan para aimmah yang dianugerah oleh Allah s.w.t. Sebelum tiba di tanah Karbala, Imam telah mengetahui tentera Kufah akan menentangnya tambahan pula Farazdaq telah berkata kepada Imam Husain a.s "Hati-hati mereka bersamamu akan tetapi pedang-pedang mereka bersama Yazid". Tidak perlu dipertikaikan lagi tentang pangkat dan maqam Husain bin Ali yang dia memang seorang Imam. Adanya bukti seperti ini sudah pasti Imam Husain bin Ali a.s memiliki ilmu keimamahannya dan ini hanya wujud dalam kewujudan seseorang Imam.
2. Sifat-sifat terpuji dan mulia juga telah ditonjolkan oleh Imam Husain a.s sebagai petunjuk kepada kita semua. Imam Husain a.s dan para sahabat telah mengajar kita tentang keikhlasan, kesetiaan dan kehambaannya kepada Allah s.w.t. Para pengikut Imam Husain a.s tidak pernah menanyakan apakah upah mereka atau ganjaran yang bakal mereka terima hasil dari peperangan Karbala. Malah Imam dan para pengikut benar-benar ikhlas dan telah sampai ketahap kezuhudan masing-masing. Tetapi lain pula ceritanya apabila kita melihat pihak Yazid. Dari setiap mulut tentara Yazid pasti muncul persoalan apakah bagian kami?
Ternyata Imam Husain a.s dan para pengikutnya ikhlas dan ridha atas keputusan mereka. Demi agama yang telah diamanahkan oleh Allah, mereka sanggup mengorbankan nyawa sendiri. Rentetan dari itu nilai-nilai kehambaan juga telah wujud dalam diri mereka. Mereka rela menghambakan diri yang tidak akan wujud tanpa pencipta. Walaupun di dalam keadaan darurat tanpa diberikan setitik air untuk diminum ataupun untuk berwudhuk, mereka tetap mengerjakan apa yang diperintahkan iaitu mengerjakan solat. Sewaktu menunaikan solat timbul pula sifat-sifat setia kawan. Mereka sanggup mati menahan dan menghalang panah-panah mengenai sahabatnya yang sedang menunaikan solat timbul pula sifat-sifat setia kawan. Mereka sanggup mati menahan dan menghalang panah-panah mengenai sahabatnya yang sedang menunaikan kewajiban solat zuhur dengan menjadikan tubuh mereka dinding tempat sahabatnya mengerjakan solat.
Kemenangan Imam Husain bin Ali a.s di dalam perang Karbala ialah dengan tidak tunduknya mereka kepada kuasa kebatilan Yazid dan patuhnya mereka akan kehendak Islam agar tetap unggul. Akan tetapi kemenangan zahiriah itu tidak akan tercapai tanpa sifat-sifat maknawiah yang dimiliki oleh mereka. Oleh kerana tempat tujunya Allah s.w.t maka kemenangan hakiki menjadi milik mereka.
Di dalam peperangan manapun, Islam tidak mengajarkan kita memulainya. Biarlah pertempuran itu tercetus dari pihak lawan. Imam Husain a.s memang tidak mau mencetuskan peperangan walaupun semua laskar Yazid telah bersedia untuk mengangkat pedang-pedang mereka. Laskar Yazid telah menyekat air untuk sampai kepada tentara Imam Husain a.s namun begitu Imam Husain a.s tetap berkhutbah tentang pesan ayahnya iaitu "Jangan sekali-kali bermusuhan dengan ahlul-bait".
Manusia selalu alpa dan mungkin dengan kata-kata Imam Husain a.s pada saat akhir itu dapat menyadarkan mereka semua. Imam Husain a.s mengharapkan ada orang yang akan memahami peringatan terakhirnya. Apabila keadaan menjadi lebih tegang Imam Husain a.s mengambil sebuah al-Quran lalu menjunjungnya seraya berkata di hadapan barisan tentera Yazid " Aku adalah Imam dan ketua kamu semua. Al-Quran ini adalah kitab dan kalam Allah s.w.t. Apa yang telah aku lakukan sehingga darahku telah halal untukmu? Adakah aku bukannya anaknya puterinya Rasulullah s.a.w yang kamu sanjungi dan hormati pada ketika dahulu? Apakah kamu semua tidak mendengar kata-kata dari Rasulullah s.a.w bahawa aku dan saudaraku Hassan a.s adalah pemuda syurga. Jika apa yang aku katakan ini tiada kebenarannya, tanyalah Jabir, Zaid bin Arqam dan Abu Said Khidri. Bukankah Jaafar Tayyar itu pakcikku".
Tidak seorang pun yang menjawab pertanyaan Imam Husain a.s kecuali Syimr. Dia menjawab "Sekarang engkau akan masuk neraka". Imam Husain a.s dengan terkejut menjawab kata-kata Syimr "Allahu akbar, datukku telah menceritakan bahwa baginda telah bermimpi dan di dalam mimpi itu baginda menyaksikan kejadian yang menjijikan yang mana seekor anjing sedang menjilat darah ahlul-baitku". Imam Husain a.s menyambung kata-katanya lagi " Aku merasakan anjing itu adalah kau wahai Syimr".
Namun begitu Imam Husain telah mematikan hujjahnya dengan memberi khutbah terakhir kepada pengikut-pengikut Yazid, walaupun di dalam keadaan yang sangat genting dan tidak mempunyai sedikit waktupun untuk berkhutbah. Imam Husain a.s tidak mau ada yang menyalahkan dirinya kerana tidak menyampaikan amanah Allah s.w.t. Dalam keadaan apapun Imam Husain a.s tetap patuh pada perintah Rabbul Jalil.
Selepas tercetusnya peperangan, sebilangan daripada tentera Imam Husain bin Ali a.s telah pergi menemui yang Maha Esa dan mengecapi kenikmatan syurga masing-masing. Pada ketika itu, Imam Husain a.s membelai janggutnya lalu berkata di suatu ketika Allah s.w.t memurkai kaum yahudi kerana mempercayai Allah s.w.t mempunyai anak. Kemurkaan Allah s.w.t pada kaum masihi dikeranakan mempercayai wujudnya 3 tuhan. Dan Allah s.w.t juga bertambah murka kepada kaum yang meyembah api kerana menjadikan matahari dan bulan tuhan mereka. Kemuncak kemurkaan Allah s.w.t kepada puak yang membunuh anak lelaki puterinya Rasullullah s.a.w yang setia kepada Penciptanya.
DISAAT SYAHIDNYA HABIB BIN MAZAHIR
Satu hari dari hari-hari kesedihan, diwaktu mengerjakan solat zohor Imam Husain a.s meminta para tentera menghentikan peperangan buat seketika untuk solat. Salah seorang daripada tentera Yazid, Hasin bin Namir menjawab dengan laungan yang kuat "Solat apa yang kamu ingin lakukan? Bukankah solat kamu semua tidak diterima Allah s.w.t?"
Habib bin Mazahir mara ke hadapan setelah mendengar jawapan dari Hasin. Perasaannya yang makin membara membuatkan ia menjawab kembali kata-kata Hasin tadi. " Hanya kamu saja yang menganggap solat ahlul-bait Rasulullah tidak dikabulkan dan merasa solat yang dilakukan oleh keldai seperti kau saja yang diterima oleh Allah s.w.t". Kata-kata Habib bin Mazahir membuatkan Hasin dan koncu-koncunya walaupun Habib bin Mazahir lebih tua dari Hasin akan tetapi dia masih boleh menumpaskan pihak lawan. Namun begitu, oleh kerana bilangan mereka semakin bertambah mereka dapat menjatuhkan Habib bin Mazahir.
Imam Husain bin Ali a.s duduk menemani jenazah Habib bin Mazahir yang telah dikerat-kerat di dalam keadaan tidak berkepala seraya berkata " Belahan tubuhku, terbunuhnya para sahabatku sepertimu adalah kerana menurut perintah Allah S.W.T.
KATA-KATA IMAM HUSAIN A.S DISAAT KEMATIAN MUSLIM BIN AUSAJAH
Pada detik-detik terakhir kematian Muslim bin Ausajah, Imam Husain a.s duduk menemaninya. Imam dengan penuh sifat-sifat kasih sayang yang sentiasa terbayang diraut wajahnya kelihatan tenang sambil mengucapkan tahniah dan selamat jalan pada Muslim. Tahniah kerana akan sampai kepada kejayaan hakiki dan selamat jalan kerana akan meneruskan perjalanan ke destinasi sebenar.
Sememangnya kita tidak mampu untuk membayangkan raut Imam Husain ketika berhadapan dengan sahabatnya itu. Sifat-sifat penyayang yang telah diwarisi dari ibunya Fatimah Az-Zahra dan ayahnya Ali Al-Murthada dan datuknya Muhammad Al-Mustafa mengeratkan lagi hubungannya dengan para sahabat. Dengan sifat-sifat yang penyayang inilah mereka menyampaikan risalah Allah s.w.t. Apabila sahabatnya memandang Imam Husain a.s, dia semakin sayang dan cintanya terhadap cucu Rasulullah begitu mendalam. Imam Husain a.s meletakkan tangannya dibahu Muslim bin Ausajah, perlahan-lahan memegang lehernya lalu membuat Muaniqah (mencium kiri dan kanan pipinya).
Imam Husain a.s mencium dahi Muslim dengan penuh kasih sayang dan penuh tanggungjawab terhadap sahabatnya. Kata-kata terakhir terpacul keluar dari mulut lemah Muslim " Aku merasa bangga dapat mengecapi kasih sayang dari anak Rasullullah dan aku merasa gembira yang teramat sangat. Siapa yang lebih bertuah dariku di mana anak Rasullah s.a.w meletakkan pipinya ke pipiku". Muslim bin Ausajah menghembuskan nafasnya yang terakhir dalam keadaan gembira dan redha.
KEMBALINYA SI KECIL IMAM HUSAIN A.S (ALI ASGHAR) KE RAHMATULLAH
Tabari telah menceritakan daripada Uqbah bin Basyir Asadi riwayat daripada Imam kelima Muhammad Baqir a.s. Uqbah bin Basyir Asadi adalah dari kaum bani Asad. Imam Baqir a.s berkata "Wahai Uqbah ! Kaummu masih ada hutang darah dengan keluarga Rasulullah s.a.w". Imam Baqir a.s menerangkan kepada Uqbah dengan lebih jelas. "Pada peristiwa Asyura salah seorang daripada anak lelaki datukku Imam Husain a.s telah syahid di tangan bani Asad." Imam Baqir menyambungnya lagi a.s "Sewaktu air telah disekat untuk sampai ke khemah-khemah, Imam Husain a.s telah meminta Ali Asghar dibawa kepadanya. Dengan harapan, Imam mengangkat Ali Asghar yang masih bayi dengan kedua belah tangannya seraya berkata "Wahai ahli Kufah ! Aku tahu kamu semua menentangku tapi apakah anak kecil ini harus menanggung apa yang ditanggung olehku sekarang. Kalau kamu menyekat air kepadaku maka berikanlah kepada anak kecil yang tidak berdosa ini". Belum sempat Imam Husain a.s memeluk anaknya itu, satu anak panah telah mengenai leher Ali Asghar. Lalu Imam Husain a.s menadah titisan darah yang mengalir dari leher anak kecilnya dan menyimbahkannya ke langit. Anak panah itu telah dilepaskan oleh salah seorang daripada kaummu Bani Asad".
Tabari meriwayatkan lagi selepas Imam Husain a.s menyimbah darah Ali Asghar ke langit dia berdoa " Ya Allah ! Jika di dunia ini kemenangan bukan milik kami maka kami inginkan kemenangan yang besar di akhirat nanti. Hanya Kau yang layak membalas perbuatan mereka".
KEBEBASAN DAN KELELAKIAN YAZID DAN TENTERANYA TERGADAI
Khawarizmi menyatakan Imam Husain a.s dan pengikutnya yang masih ada telah berperang tanpa henti pada hari ke sepuluh Asyura dan telah menumpaskan ramai musuh-musuhnya. Oleh kerana itu pihak lawan telah membuat keputusan untuk menjatuhkan Imam Husain a.s yang menjadi semangat kepada pengikutnya. Tentera Yazid memulakan serangan ke atas khemah-khemah yang didiami oleh golongan kanak-kanak dan wanita. Imam Husain a.s dengan suara yang lantang melaungkan "Wahai pengikut keluarga Abu Sufian ! Kalau engkau tidak ada agama dan tidak takut pada hari kiamat sekurang-kurangnya hiduplah kamu dalam kebebasan. Jika kamu dari golongan arab dan tahu datuk-datuk kamu disanjungi kerana kemuliaan dan kebesaran mereka maka peliharalah kemuliaan kamu itu".
Syimr menjawab "Apa yang kau katakan Husain?" Imam menjawab "Aku adalah lawanmu dan kau adalah lawanku. Kenapa kau libatkan kanak-kanak dan wanita ini? Tidakkah kau merasa malu menentang kanak-kanak dan wanita-wanita ini? Jangan kau cuba mencederakan mereka. Sehingga aku masih hidup, aku akan mempertahankan mereka dan selagi hayat masih ada jangan kau berbuat apa-apa kepada mereka". Syimr menjawab lagi " Baiklah, kalau itu yang kau mahukan aku setuju". Syimr yang berwajah seribu kekejaman dan kekejian telah mengerahkan tenteranya supaya hanya menentang Husain dan tenteranya sahaja sehinggalah kesemuanya menuju jalan syahid.
Mungkin apabila dilihat secara global, insiden tadi hanyalah menonjolkan kata-kata Imam Husain a.s dengan Syimr bin Jausyan di hari ke sepuluh Asyura sahaja. Ia juga sudah dianggap sebagai peristiwa yang benar-benar menyayat hati di dalam sejarah Islam. Tetapi hakikatnya di sini dari peristiwa Karbala itu, Imam Husain a.s ingin menyampaikan satu pernyataan universal kepada dunia untuk sepanjang zaman. Memang tidak dapat dinafikan semua penghuni dunia tidak berpegang pada undang-undang Ilahi kerana bukan semuanya menjalani kehidupan sebagai muslim. Namun begitu di dunia kita dari dahulunya telah tercipta satu undang-undang antarabangsa di mana semua penduduk dunia memelihara dan mematuhi kanun yang telah ditetapkan. Mana-mana negara yang berhadapan dengan masalah peperangan, hanya kaum lelaki yang akan mara ke medan pertempuran. Pihak yang menang tidak berhak menganiayai kanak-kanak dan wanita-wanita kecuali menjadikan mereka sebagai tawanan.
Islam adalah agama yang suci dan pastinya mempunyai undang-undang tersendiri seperti mana telah termaktub di dalam Al-Quran. Kita dilarang menghianati orang lain dan harus menyayangi sesama Islam seperti kita menyayangi diri kita sendiri kerana orang-orang Islam itu adalah bersaudara. Islam juga menegaskan supaya jangan melewati batasan yang telah ditetapkan. Di dalam surah Al-Baqarah ayat 190 Allah s.w.t telah berfirman "Perangilah olehmu pada jalan Allah akan orang-orang yang memerangi kamu dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Allah tidak mengasihi orang-orang yang melampaui batas". Ayat ini menunjukkan bahawa janganlah kita bermusuhan dengan orang-orang lain kecuali mereka yang berperang dengan kita sahaja. Rumah-rumah mereka jangan diroboh, keturunan mereka jangan dihapuskan, air jangan disekat, wanita dan golongan yang tidak berdaya jangan dianiaya dan yang melarikan diri jangan diekori. Hatta kata-kata kesat juga jangan dilemparkan kepada mereka.
Apabila menjengah kembali pada peristiwa Asyura, kita dapati Syimr dan pengikutnya bukan sahaja telah melanggari undang-undang Islam bahkan undang-undang dunia pun mereka lewati. Syimr berperang atas tuntutan nafsu (kemarahan) bukan seperti Imam Husain a.s berjuang kerana tuntutan dan tanggungjawab kepada agama. Sifat kemanusiaannya telah hilang apabila emosi buas menguasai diri. Dia bukan saja melepasi batasan dunia dan Islam malah kelelakiannya juga tergadai ketika menyerang dan mengepung khemah kanak-kanak dan wanita sejurus selepas kesyahidan Imam Husain a.s dan para pengikutnya serta penyeksaan terhadap tawanan dari Karbala hingga ke Syam.
MUNAJAT TERAKHIR IMAM HUSAIN A.S
Berdasarkan nukilan Syeikh Taifah dari Syeikh Tusi (Misbahul Mujtahid) dan dari marhum Syed bin Tawus (Iqbal). Pada detik terakhir kehidupan Imam Husain a.s bermunajat kepada Allah s.w.t disaat rebahnya ke bumi. Dia telah membuka matanya dengan perlahan-lahan memandang ke arah langit yang turut bersedih di atas peristiwa di tanah Karbala.
Imam Husain a.s berdoa kepada Pencipta sekalian alam " Ya Tuhanku ! Agungnya makamMu, kerasnya marahMu, kekuatanMu mengatasi segala kekuatan, Kau tidak bergantung (memerlukan) kepada makhlukmu dan ciptaanMu di bawah penguasaanMu seperti apa yang Kau inginkan. RahmatMu dekat kepada makhlukMu, janjiMu benar, nikmatMu sempurna, ujianMu indah, Kau dekat kepada hamba-hambaMu ketika Kau dipanggil, Kau berkuasa di atas ciptaanMu, Kau menerima taubat mereka yang memohon kepadaMu, Kau bertindak di atas kemahuanMu, Kau tidak meminta di syukuri apabila Kau disyukuri, Kau tidak meminta diingati apabila Kau diingati , aku memanggilMu kerana memerlukanMu, aku mendekatMu seperti seorang fakir. Takutku kepadaMu seperti orang yang di dalam seribu ketakutan, aku menangis seperti orang yang di dalam kesedihan, aku memohon pertolongan dariMu seperti orang yang dhaif, aku berserah kepadaMu seperti orang yang memadai (mencukupi).
Ya Tuhanku !Hukumkanlah (adili) diantara kami dan diantara kaum kami kerana mereka menipu dan membohongi kami. Mereka meninggalkan (tidak menolong)kami dan membunuh kami keluarga nabiMu kekasihMu Muhammad s.a.w yang telah dipilih untuk menyampaikan risalah (wahyu). Dan jadikanlah untuk kami dari setiap urusan kami kemudahan dan jalan keluar. Aku bersabar di atas qada’dan qadarMu, wahai tuhan yang tiada tuhan lain selainMu. Wahai Yang membantu mereka-mereka yang memerlukan bantuan. Tiada tuhan lain bagiku selainMu. Aku bersabar di atas hukum dan takdirMu. Wahai Pembantu yang tiada pembantu bagiNya. Wahai yang sentiasa ada (kekal) dan tidak berpenghujung. Wahai Penghidup para yang mati, Wahai yang berkuasa di atas kesemuanya, hukumkanlah (adili) diantaraku dan mereka dan sesungguhnya Kau adalah sebaik-baik Penghukum.
Dari :
AHLUL-BAIT RESEARCH CENTRE
6 Muharram 1421H
Tidak ada komentar:
Posting Komentar